Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah.. SKAJ Bawa Pulang 3 Anugerah

Khamis, 3 Jun 2010


TAHNIAH...TAHNIAH...TAHNIAH!!! Itulah ungkapan yang selayaknya buat kontijen guru-guru SK Assam Jawa yang diketuai Tn. Hj. Ismail b. Dawani apabila berjaya merangkul 2 kategori daripada 5 kategori yang dipertandingkan dalam Pertandingan Perbarisan Sempena Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Selangor bagi tahun 2010. Dalam pertandingan tersebut SKAJ berjaya mengungguli kategori Keseragaman Pakaian dan Keseragaman Pergerakan sekaligus melayakkan kontijen SKAJ dinobatkan selaku Johan Keseluruhan Zon A sekaligus menewaskan 71 buah sekolah yang lain di dalam daerah Kuala Selangor.

Semangat, kerjasama serta disiplin yang tinggi dari semua guru dari awal persiapan sehinggalah ke hari pertandingan merupakan faktor utama kejayaan SKAJ pada hari tersebut disamping sentuhan tangan-tangan kreatif dari guru-guru yang berbakat merupakan rencah kejayaan SKAJ.. tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Tn. Guru Besar (Tn. Hj. Ismail b. Dawani), Cg. Wan Ab. Aziz, Cg. Zulia, Cg. Sulaiman dan kepada semua guru yang memberi kerjasama dan sumbangan idea yang tak terhingga ... orang jawa kata ALL OUT la untuk menjulang nama SKAJ pada hari tersebut... Apa yang penting??? KERJAAASAMA... Diharap guru-guru teruskan kerjasama dan semangat anda untuk terus mengharumkan nama SK Assam Jawa di peringkat Daerah Kuala Selangor, Negeri seterusnya peringkat Kebangsaan..... dan Antarabangsa....

Ayuh.. sama-sama kita gegarkan sekali lagi daerah Kuala Selangor ini dengan melakar kejayaan yang lebih Gemilang di dalam Peperiksaan UPSR 2010.. kita masih punya masa, masih punya waktu, masih punya ruang untuk mencapai kejayaan ini... tidak ada yag mustahil untuk kita mencapai 100% lulus UPSR... yang penting adalah SEMANGAT, USAHA DAN DOA KITA KEPADA-NYA...

TAHNIAH sekali lagi dari kami team IT SKAJ... SKAJ BOLEH!!!

SELAMAT HARI GURU!!!

Isnin, 17 Mei 2010

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA...

PASUKAN BOLA SEPAK SKAJ KE-3 DAERAH


TAHNIAH..!!! Itulah ungkapan yang selayaknya dilayarkan kepada skuad bola sepak SKAJ di bawah bimbingan Cikgu Abdul Rashid b. Muhamed Zahid atas kejayaan menduduki di carta no. 3 Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Peringkat Daerah Kuala Selangor yang telah berlangsung baru-baru ini di SK Bandar Baru, Kuala Selangor.




Kejayaan skuad ini dari awal lagi sudah terjelas dengan semangat dan kekuatan yang ada pada setiap pemain dan jurulatih. Walaupun kita diletakkan dalam satu kumpulan bersama juara bertahan iaitu SK Bandar Baru, namun itu bukanlah alasan untuk pasukan kita menyerah kalah dengan mudah.. buktinya kita telah berjaya mengungguli perlawanan pada peringkat kumpulan dengan menjuarai Zon Kuala Selangor tanpa sebarang kekalahan dan melepaskan gol..




Namun nasib kita tidak baik apabila dinafikan peluang untuk beraksi di pentas final oleh pasukan dari SK Puncak Alam dengan jaringan diminit akhir perlawanan pada peringkat separuh akhir. pada peringkat separuh akhir kita tewas kepada SK Puncak Alam dengan jaringan 2-1 walaupun berjaya mendahului lawan.




Kekalahan tunggal pasukan kita tersebut dalam kejohanan ini menafikan peluang untuk pasukan kita membalas dendam kepada SK Saujana Utama yang menewaskan kita dalam perlawanan persahabatan beberapa hari sebelum kejohanan berlangsung. SK Saujana Utama telah menjuarai kejohanan edisi kali ini setelah berjaya menewaskan SK Puncak Alam dengan kemenangan 3 gol tanpa balas..




Apapun kedukaan para pemain terubat apabila salah seorang pemain SKAJ telah dipilih untuk mewakili daerah Kuala Selangor dalam pertandingan diperingkat negeri iaitu Adik Muhamad Hamizan b. Rizaki...




Apapun TAHNIAH sekali lagi dari kami kepada Pasukan Bola Sepak SKAJ dan barisan Jurulatih atas kejayaan ini.. Cuba lagi di tahun hadapan... BRAVO SKAJ....

LAPORAN PENUH SUKAN TAHUNAN SKAJ KALI KE-39 / 2010

Selasa, 6 April 2010

Sukan Tahunan SK Assam Jawa Kali ke-39 telah pun melabuhkan tirainya. Alhamdulillah... segala aturcara yang dirancang berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan padang yang basah kerana hujan turun dengan lebat pada sebelah malamnya.

Sukan Tahunan SKAJ Kali ke-39 berjalan dengan penuh meriah dan diserikan lagi dengan kehadiran YB Dato' Amiruddin bin Setro yang hadir bagi menyempurnakan Perasmian Sukan Tahunan SKAJ kali ini.

Para pelajar, guru dan ibu bapa telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi walaupun terpaksa mengharungi padang yang becak. Tahniah kami ucapkan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar SKAJ. Walaubagaimanapun, mungkin sudah menjadi adat mana-mana pertandingan sekalipun, masih ada suara-suara yang mempertikaikan keputusan pengadil yang diketuai oleh Cikgu Rashid kita... Biasalah cikgu, dah adat pertandingan agaknye.. bak kata pepatah..."Rumah dah siap tapi pahat masih berbunyi..." betul ke pepatah tu ye... Yang penting hakim-hakim kita telah mengadili pertandingan dengan seadil-adilnya...

Rumah Biru yang diketuai oleh Pn. Umi Najuah nampaknya masih gah dan sukar untuk ditewaskan oleh rumah-rumah sukan yang lain apabila menjuarai lagi sukan edisi ke-39 kali ini... Entah kali ke berapa tak tahu la rumah BIRU muncul juara sukan SKAJ tapi seingat teman sejak teman datang ke SK Assam Jawa ni belum ada rumah lain lagi yang menjuarai sukan SKAJ... bak kata orang utara... PI MAI PI MAI RUMAH BIRU.. PI MAI PIMAI RUMAH BIRU... Teman rasa pihak sekolah kena buat rombakan semula la pelajar-pelajar mengikut rumah supaya sukan tahun depan lebih mencabar... jangan marah ye Cik Man selaku S/U sukan kite.. teman hanya melontarkan pandangan... jangan la tension pulak dengan cadangan teman ni sampai tak leh nak fokus pada study.. exam dah dekat tu... APAPUN TEMAN UCAPKAN TAHNIAH KEPADA SEMUA...

Berikut adalah keputusan penuh Sukan Tahunan SKAJ Edisi Ke-39/2010:

JOHAN
Rumah Biru (Bendahara)

NAIB JOHAN
Rumah Kuning (Laksamana)

TEMPAT KE-3
Rumah Merah (Temenggung)

TEMPAT KE-4
Rumah Hijau (Syahbandar)

OLAHRAGAWAN
Adik Mohd Kamil b. Mohd Sani (Rumah Biru)

OLAHRAGAWATI
Adik Nur Afiqah bt. Imran (Rumah Biru)

PERBARISAN

JOHAN
Rumah Merah

TEMPAT KE-2
Rumah Kuning

TEMPAT KE-3
Rumah Hijau

TEMPAT KE-4
Rumah Biru

AKTIVITI BULAN APRIL

Selasa, 23 Mac 2010

SUKAN TAHUNAN SK ASSAM JAWA KALI KE-39 / 2010

Tarikh:
4 APRIL 2010 (AHAD)

Masa:
8:00pg - 6:00 ptg

Tempat:
SK Assam Jawa

Semua ahli masyarakat dijemput hadir memeriahkannya...

Saat ini guru-guru dan murid-murid sibuk dengan latihan sukan dan acara akhir sukantara murid-murid tahap 2 bagi acara lompat tinggi, lompat jauh dan lontar peluru... Acara merentas desa telah pun berakhir dan nampaknya Rumah Biru masih meneruskan tradisi mendahului dari segi pungutan mata sebelum kejohana bermula.. Tahniah kepada guru-guru dan murid-murid Rumah Biru...
Namun, jangan terlalu yakin untuk mempertahankan kejuaraan pada tahun ini kerana jurang mata tidak jauh berbeza... Kepada Rumah Merah, Kuning dan Hijau anda masih mampu mencabar kejuaraan tahun ini... Yang penting....
KERJASAMA... DAN TERUSKAN DENGAN SEMANGAT KESUKANAN...

Kepada mereka yang ingin berniaga pada hari sukan tersebut, jualan tapak gerai telah dibuka dan terhad kepada 20 tapak gerai sahaja... harga bagi satu tapak adalah sebanyak RM 30.00.. Bentuk jualan yang dibenarkan hanyalah makanan dan minuman sahaja...dan dijamin HALAL serta BERSIH... Tarikh tutup permohonan dan serahan borang pada atau sebelum 1 APRIL 2010...
sebarang pertanyaan boleh berjumpa dengan Us. Azril (Setiausaha PIBG SKAJ)...

Akhir kata.. Selamat Bersukan dari kami....

(dapatkan berita sukan dari blog ini dari masa ke semasa)

AKTIVITI BULAN MAC

MESYUARAT AGUNG PERSATUAN ALUMNAI SK ASSAM JAWA KALI PERTAMA 2010

Tarikh:
28 MAC 2010 (AHAD)

Masa:
8.00 Pagi

Tempat:
Dewan Sementara SK Assam Jawa

Semua bekas pelajar SK Assam Jawa dijemput hadir..

BARISAN GURU SK ASSAM JAWA SESI 2010

Jumaat, 12 Mac 2010


Duduk dari kiri:

En. Ishak b. Hashim, En. Izdihar b. Mohamad, En. Hj. Md. Yusof b. Umar, En. Muhamad Nizam b. Harun, En. Azrilhairi b. Ahmad, En. Izazuddin b. Yaakup, En. Ismail b. Taharim, En. Wan Ab. Aziz b. Wan Ibrahim, Tn. Hj. Ismail b. Dawani (Guru Besar), Pn. Azizah bt. Ihtnin (GPK Pentadbiran), Pn. Norhayati bt. Hussin (GPK HEM), Pn. Hasnita bt. Hassan (GPK Ko-Kurikulum), Pn. Noraliza bt. Mahmud, Pn. Seniah bt. Ali, Pn. Hjh. Rahamah bt. Baba, Pn. Zulaila bt. Bujor, Pn. Norazlin bt. Othman.

Berdiri di barisan tengah (dari kiri):

Pn. Umi Najuah bt. Salih, Pn. Siti Hasnah bt. Md. Kadzim, Pn. Arnimi bt. Ibrahim, Pn. Noraini bt. Kassim, Guru Praktikal UNISEL, Pn. Zulia bt. Mohd Bahar, Cik Siti Ramlah bt. Senapi, Pn. Rozita bt. Amat, Pn. Siti Hajar bt. Apandi, Pn. Roslina bt. Mohamad, Pn. Mislinda bt. Shafie, Pn. Rafiah bt. Jusoh, Pn. Rafidah bt. Ibrahim, Pn. Zarinah bt. Hasan, Pn. Zuraida bt. Marjuki, Pn. Yusnita bt. Sanusi, Pn. Saripah bt. Sabari, Pn. Noorafizah bt. Kamaruddin, Pn. Ruzita bt. Abd. Hamid, Pn. Norizzah bt. Damri, Pn. Nur Azwani bt. Ahmad, Pn. Hasnida bt. Mohamad, Cik Jamilah bt. Ibrahim, Pn. Noormah bt. Arshad, Pn. Latifah bt. Mohd Yunus, Pn. Seniah bt. Karim.

Berdiri di barisan belakang (dari kiri):

Pn. Maslini bt. Markom, Guru Praktikal, Cik Farazila bt. Sahar, Pn. Rosmalia bt. Che Soh, En. Mohd Yahya b. Ibrahim, En. Abdul Rashid b. Mohamad Zahid, En. Sulaiman b. Dat, Guru Praktikal UNISEL, Guru Praktikal UNISEL, Guru Praktikal UNISEL, Guru Praktikal UNISEL.

Posted by Picasa

TAZKIRAH...

Rabu, 10 Februari 2010

21 TAHUN TEMPOH MENDIDIK ANAK...

Rumah tanpa anak-anak adalah suatu tempat yang membosankan. Cinta akan berkurangan dan perkahwinan akan selalu di ancam bahaya kehancuran. Ini kerana anak-anak adalah sumber kehangatan dan kelangsungan hidup sesebuah rumah tangga.

Namun keriangan keluarga dengan kehadiran anak sering tercemar kerana kecuaian ibu bapa dalam soal didikan agama dan adab sedari mereka masih kecil. Hal ini ternyata benar kerana mengabaikan pesanan Hukama' : "Bersegeralah dalam mendidik anak sebelum kesibukan melalaikanmu, kerana sesungguhnya apabila anakmu telah berumur dewasa dan berakal (tetapi tidak terdidik) maka dia akan menyibukkan (menyusahkan) hatimu dengan keburukan".

Mendidik anak dengan didikan agama dan adab adalah jelas menjadi tanggungjawab bapa sebagai ketua keluarga dalam sesebuah rumahtangga. Bapa sama sekali tidak boleh lepas tangan atau mencuaikannya kerana tanggungjawab ini adalah amanah dari Allah SWT. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan anak isterimu daripada siksa api neraka". (At-Tahrim:6)

Dalam nada yang sama, Nabi SAW memerintahkan (khususnya kepada kaum bapa): "Perhatikanlah (awasi) anak-anakmu, dan didiklah mereka dengan baik". (Riwayat Ibnu Majah).

Walaupun demikian, gandingan tenaga ibu diperlukan untuk menjayakan peranan bapa dalam mendidik anak. Ini kerana sifat penyayang dan watak lemah-lembut seorang wanita amat membantu.

Program pendidikan anak merupakan satu proses yang berterusan. Justeru, ia memakan masa sebelum dapat dilihat hasilnya ketika mereka mencapai usia dewasa. Sayidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: "Sayangi dan layanilah anak sampai usianya tujuh tahun, kemudian didiklah anakmu selama tujuh tahun dan pada tujuh tahun ketiga suruhlah anakmu untuk ikut membantu urusan keluargamu".

Berpandukan kata-kata Sayidina Ali ini, para ulama' membahagikan pendidikan anak-anak kepada tiga fasa (yang setiap satunya selama tempoh tujuh tahun) sedari kecil sehingga menjangkau usia dewasa selama 21 tahun. Fasa tujuh tahun pertama (dari usia 0-7 tahun), dengan kasih sayang. Diikuti dengan fasa tujuh tahun kedua (dari usia 7-14 tahun) dengan didikan ilmu dan tunjuk ajar serta kebiasaan yang baik. Akhir sekali bagi tempoh tujuh tahun ketiga (dari usia 14-21 tahun) dengan bimbingan kemahiran hidup dan latihan kepimpinan.

Bersambung lagi akan datang...

AKTIVITI-AKTIVITI BULAN FEBRUARI

Selasa, 2 Februari 2010

KEJOHANAN MERENTAS DESA SKAJ

Tarikh : 3 Februari 2010
Hari : Rabu
Masa : 3.30 ptg (waktu aktiviti Ko-Kurikulum)

CERAMAH MOTIVASI PELAJAR ASRAMA DESA SKAJ

Tarikh : 5 Februari 2010
Hari : Jumaat
Masa : 8.00 mlm
Tempat : Dewan Makan Asrama Desa SKAJ

CERAMAH MOTIVASI IBU BAPA

Disampaikan Oleh Datuk Abdul Majid b. Omar
Timb. Mufti Negeri Selangor

Tarikh : 6 Februari 2010
Hari : Sabtu
Masa : 3.00 Petang
Tempat : Dewan Sementara SK Assam Jawa

Semua Ibu Bapa / Waris / Penjaga Pelajar SKAJ Dijemput Hadir....

SEKITAR MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-36 2010

Jumaat, 29 Januari 2010

Mesyuarat Agung PIBG SKAJ Kali ke-36 bagi sesi 2010 telah berjalan dengan jayanya pada 23 Januari 2010 yang lalu. Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh En. Khalil b. Badli, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Selangor. Seramai 186 ahli telah hadir pada mesyuarat kali ini. Majlis bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 1.15 petang. Jawatankuasa baru yang dilantik bagi sesi 2010-2011 adalah seperti berikut;

YANG DIPERTUA
En. Mohd Idris b. Daros

NAIB YANG DIPERTUA
En. Nor Azhar b. Jamil

SETIAUSAHA KEHORMAT
En. Azrilhairi b. Ahmad

BENDAHARI
En. Mohd Yahya b. Ibrahim

AHLI JAWATANKUASA

1. En. Md Yusuf b. Umar (Guru)
2. En. Ishak b. Hashim (Guru)
3. Pn. Saripah bt. Hj. Sabari (Guru)
4. Pn. Norafizah bt. Kamaruddin (Guru)
5. Cik Jamilah bt. Ibrahim (Guru)
6. En. Abd. Latiff b. Johar
7. En. Norazmin b. Mohamad
8. En. Mohd Azhar b. Hassan
9. En. Hamzah b. Sudin
10. En. Abd. Malik b. Baharin
11. Pn. Norhayati bt. G. Dass
PEMERIKSA KIRA-KIRA
1. Pn. Asnorida bt. Mahmud
2. Pn. Saaidah bt. Mohamed
Tahniah kami ucapkan kepada ibu bapa yang hadir memberi sokongan dan kepada Ahli Jawatankuasa PIBG yang baru dilantik selamat menjalankan tugas dan terima kasih kepada mantan-mantan Ahli Jawatankuasa PIBG yang lepas atas sumbangan kalian.... Tahniah dan terima kasih kepada semua yang menjayakan mesyuarat agung PIBG kali ini...... wassalamualaikum wrt......

SEJARAH SK ASSAM JAWA

Rabu, 20 Januari 2010

Sekolah Kebangsaan Assam Jawa (SKAJ) mula ditubuhkan pada tahun 1892. Pada awal penubuhannya, SKAJ hanyalah merupakan sebuah bangunan yang amat sederhana sturktur binaannya. Bangunan tersebut berangka dan berdindingkan kayu serta beratap nipah menurut maklumat yang dipetik dari Arkib Negara.
Pembinaan bangunan sulung SK Assam Jawa ialah di kawasan tanah perkuburan Kariah Assam Jawa sekarang,yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Pekan Kuala Selangor. Ia siap dibina pada bulan Disember 1892. Sebuah rumah guru juga turut dibina beriringan dengan pembinaan tersebut.

Kesan-kesan peninggalan bangunan sulung itu dapat disaksikan oleh pengunjung-pengunjung yang menziarahi pusara sanak saudara di kawasan berkenaan. Menurut maklumat yang dipetik daripada Cikgu (bersara) Mohd Arif bin Ibrahim, salah seorang bekas murid dan pernah berkhidmat sebagai guru di SKAJ dari tahun 1937 hingga 1949, tapak bangunan SKAJ berpindah ke kawasan sekarang pada tahun 1924, apabila tapak awalnya telah ditawarkan oleh kerajaan British sebagai Tanah Perkuburan Islam penduduk Kampung Assam Jawa.
Nama sekolah ini diambil sempena Kampung Assam Jawa. Manakala nama kampung ini pula berasal daripada pohon Asam Jawa yang banyak tumbuh di kawasan persekitaran pada awal penerokaan kampung ini….

Mesyuarat Agong Tahunan PIBG SK Assam Jawa Kali Ke-36

Ahad, 17 Januari 2010

Tarikh : 23 Januari 2010
Hari : Sabtu
Masa : 8.30 Pagi
Tempat : Dewan Sementara SK Assam Jawa

Dirasmikan Oleh:
Tuan Mohd Suhaimi bin Yaidi
Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Selangor